Nak duit tambahan ?

Tuesday, 2 October 2012

Salwa masih punya peminat


Nama penyanyi era 80-an, Datuk Salwa Abd Rahman, bukanlah asing dalam industri seni. Walaupun zaman kegemilangannya sudah lama berlalu, namun namanya tidak luput ditelan zaman.

Lebih tertumpu kepada genre irama Malaysia dan dangdut, Salwa menganggap dunia nyanyian sudah sebati dalam diri. Hampir 30 tahun berkecimpung sebagai anak seni, Salwa, 46, masih mendapat undangan persembahan dari pelbagai pihak.

"Alhamdulillah, saya masih lagi dijemput untuk membuat persembahan di serata tempat. Cuma, dalam bulan Ramadan, selalunya saya akan menyertai majlis kebajikan seperti menghiburkan anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan insan yang kurang bernasib baik.

"Saya juga dilantik sebagai duta produk kecantikan, DeMechinta, sejak sebulan lalu. Saya telah tandatangani kontrak selama setahun," katanya yang menerima Darjah Kebesaran Datuk Pangeran daripada Sultan Borneo, pada Mac 2009.


Pernah ditentang keluarg a

BERCERITA mengenai penglibatan awal dalam industri, Salwa memberitahu hasratnya untuk bergelar anak seni pernah ditentang keluarga.

Bukan itu sahaja, dia dilarang keras menyertai sebarang pertandingan ketika di bangku sekolah.

"Ibu saya memang tak bagi saya jadi penyanyi walaupun dulu dia pernah terlibat dalam seni suara. Lagipun, keluarga saya lebih mementingkan pelajaran. Jadi, bila tamat persekolahan, saya mula menyanyi. Pada tahun 1985, saya  menjuarai pertandingan, Bintang Pujaan Radio RTM Johor Bahru (JB).

"Saya bernasib baik kerana pada tahun yang sama, produksi daripada Singapura melamar saya untuk merakam album pertama, Liku Hidupku," katanya yang mula berhijrah ke ibu kota pada tahun 1986.

Ketika di ibu kota, Salwa banyak dibantu oleh penyanyi, Azizul Khamis. Bukan sahaja dalam bidang seni, malah Azizul turut membantunya dalam banyak perkara.

Menurut Salwa, hampir setiap tahun, dia diberi peluang untuk menghasilkan album. Sehingga kini, dia memiliki lebih 15 album termasuk, Cubit Cubit Sayang, Satu Dua Kau, Bergelek Dangdut, Lahirku Wanita, dan Mulus.


Ditudu h liar

LUMRAH sebagai selebriti, kontroversi dan gosip yang melanda tidak pernah surut. Begitu juga dengan Salwa. Walaupun bersedia untuk menghadapi kontroversi di awal pembabitan, namun jiwa muda ketika itu tidak mampu menanggung segala perit.

Malah Salwa kesal apabila pernah dituduh berkelakuan liar. "Gosip itu mula bertebaran di tahun 1986. Setelah berita tersiar di dada akhbar, kesihatan bapa mula terganggu. Dia kena serangan jantung akibat kisah panas itu dan  akhirnya meninggal dunia.

Saya sangat terkilan kerana gosip sebegitu telah membuatkan saya kehilangan orang tersayang.

"Saya sendiri tidak tahu mana mereka dapat cerita sebegitu. Sehingga di saat akhir bapa saya, perkara itu masih menghantui," kata isteri Subardron Abdul Aziz ini.


Beray a di JB

MEMILIH kampung halaman, Johor Bahru (JB), sebagai lokasi beraya setiap tahun, Salwa tidak melepaskan peluang berkumpul bersama adik-beradik dan sanak saudaranya.

Walaupun telah kehilangan kedua orang tua sejak beberapa tahun lalu, namun mereka tetap memilih rumah peninggalan itu sebagai lokasi beraya. "Kami akan berkumpul di rumah itu sehari sebelum raya. Kami akan mengemas  rumah dan menyediakan juadah di malam raya.

Kami memilih kampung kerana suasananya lebih meriah berbanding di kota," katanya.

Bertanya mengenai perbezaan sambutan hari raya dulu dan kini, Salwa mengakui sukar melupakan kenangan ketika kecil dahulu.

"Masa kecil dulu, lebih meriah dan terasa bahangnya. Mak saya jenis yang suka menghias rumah di malam raya. Bila semua anak-anak dah tidur, dia akan mengemas dan pasang langsir baru.

Bila kami bangun esok, suasana rumah berbeza. Jadi, kemeriahan jelas terasa.

"Selain itu, mak juga akan buat biskut dan kuih sendiri. Tapi, mak paling pantang kalau kami main mercun terutamanya mercun buluh.

"Walaupun kami hanya tengok, tapi dia tetap melarang. Saya pernah kena pukul sebab tengok orang main mercun," katanya sambil ketawa. 

Salwa Abd Rahman

Profil
Nama Penuh: Salwa Abd Rahman
Tarikh Lahir: 22 November 1965
Tempat Lahir: Johor Bahru
Hobi: Menghias rumah, Menonton televisyen, Menonton wayang
Idola: Datuk Sarimah, Latifah Omar, Datuk Jins Shamsudin, S Rosli, Mazlin Hamzah Anak: Puteri Sulaikha (15) dan Putera Sufrie Nizam (11)
Suami: Subardron Abdul Aziz
Menetap: Batu Caves

No comments:

Post a Comment