Nak duit tambahan ?

Tuesday, 23 October 2012

Imam Muda jual jubah


IMAM Muda bukan setakat sebuah program terbitan saluran televisyen (TV) terbitan Astro Oasis bagi melahirkan golongan imam muda semata-mata. Sebaliknya, program berbentuk keagamaan itu turut membuka peluang buat para pemenangnya mengembangkan bakat serta peluang dalam bidang perniagaan.
Juara Imam Muda musim kedua, Mohd. Hassan Adli Yahaya misalnya, menggunakan populariti yang diraihnya menerusi pertandingan itu bagi mencipta nama dalam dunia fesyen jubah untuk lelaki dengan menggunakan namanya.
Dia yang dikenali sebagai Imam Muda Hassan kini giat menghasilkan pelbagai jenis jubah lelaki yang setiap satunya dijual dengan harga RM120. Mohd. Hassan berkata, kombinasi popularitinya sebagai juara Imam Muda 2 dan keperluan jubah yang semakin diminati ramai pemakainya menyebabkan perniagaan itu kini semakin maju.
"Saya pada mulanya tidak merancang untuk menjalankan perniagaan menjual jubah. Idea itu muncul sewaktu saya mengerjakan ibadah umrah beberapa tahun lalu. Dari situ saya mereka sendiri corak fesyen jubah itu seperti yang selalu saya pakai. Terdapat sembilan gubahan dengan lima warna iaitu hitam, putih, coklat, biru tua dan biru muda.
"Buat masa ini, saya menjual jubah-jubah itu melalui talian di Internet dan juga kedai pakaian Jackel di Shah Alam, Selangor. Saya namakan jubah itu sebagai Hassan Adli yang disasarkan untuk golongan muda," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada pertemuan itu, imam muda yang berusia 27 tahun itu sedang mempromosikan album pertamanya berkonsepkan bacaan doa untuk panduan mengerjakan umrah berjudul Panduan Mengerjakan Umrah terbitan Unic Records yang telah pun berada di pasaran.
Selain mengeluarkan produk jubah dengan jenamanya, pemegang ijazah bidang Al-Quran dan Sunnah (Ilmu Wahyu) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu turut mengembangkan perniagaannya dengan menganjurkan pakej umrah menerusi syarikatnya, Persada Oasis Travel & Tours Sdn. Bhd.
"Selepas menjuarai Imam Muda musim kedua pada Julai tahun lalu saya mula aktif dengan syarikat saya itu. Walaupun baru setahun ditubuhkan tetapi syarikat saya telah lima kali menganjurkan pakej umrah.
"Ternyata sambutannya semakin menggalakkan dan saya anggap populariti saya sebagai juara Imam Muda 2 banyak membantu ke arah itu.
"Tidak sia-sia saya mengambil cuti tanpa gaji sewaktu menjadi pensyarah di International Islamic College di Batu Caves, Selangor semata-mata kerana mahu menyertai program itu pada tahun lalu," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121023/hi_02/Imam-Muda-jual-jubah#ixzz2A8DBCB4J
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment