Nak duit tambahan ?

Friday, 28 September 2012

Ibarat mimpi jadi kenyataan


UMPAMA mimpi jadi kenyataan. Itu antara reaksi pertama penyanyi Shila Amzah apabila ditanya mengenai kejayaannya muncul juara festival muzik antarabangsa Asian Wave 2012 di Shanghai, China 20 September lalu.
Apatah lagi, itu merupakan pertandingan antarabangsa yang melibatkan penyertaan peserta daripada pelbagai negara dari seluruh benua Asia
Pemilik nama sebenar Nur Shahila Amir Amzah itu mengakui, kejayaan itu memang tidak disangka apabila dia berjaya mencuri hati para juri profesional seterusnya menewaskan peserta peringkat akhir lain yang datang dari China, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan India.
Menurut anak kepada Amir Amzah Salleh atau lebih dikenali sebagai N.D. Lala itu, sebaik sahaja diumumkan sebagai juara, dia merasakan seperti penantiannya selama ini berbaloi.
"Saya tidak menyangka bakal menjuarai pertandingan ini. Semua peserta merupakan penyanyi yang berpengalaman dan merupakan nama-nama besar di negara masing-masing.
"Apatah lagi saingan yang terpaksa saya hadapi turut melibatkan peserta tuan rumah yang merupakan antara peserta pilihan untuk muncul juara sejak awal pertandingan lagi.
"Tetapi syukurlah dengan sokongan yang diterima daripada keluarga dan peminat, saya dapat memberikan yang terbaik sewaktu membuat persembahan," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.
Pada peringkat akhir pertandingan itu, Shila memukau juri dan penonton menerusi lagu Gemilang oleh Jaclyn Victor, Grenade (Bruno Mars) dan sebuah lagu Mandarin berjudul Zheng Fu yang dinyanyikan oleh penyanyi popular China, Na Ying.
Tambah penyanyi yang sedang hangat bercinta dengan pelakon Shaarnaz Ahmad itu, kejayaan tersebut juga merupakan antara sumbangan yang berjaya dilakukannya demi negara tercinta, Malaysia.
Katanya, kejayaan yang dicapai itu menjadi lebih berharga kerana ia turut membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa khususnya di China.
"Saya terharu kerana diberikan kepercayaan untuk mewakili negara dalam pertandingan ini dan seterusnya berjaya muncul juara.
"Kemenangan ini bukan milik saya sendiri, tetapi merupakan milik bersama keluarga dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa percaya akan kebolehan yang saya miliki," jelasnya.
Langkah besar
Sudang tentu juga kejayaan Shila itu turut mengundang kebanggan buat Ibu bapanya.
Ibu bapa mana yang tidak bangga apabila anak mereka berjaya mencapai cita-cita yang sekian lama diidamkan. Malah bergelar seorang superstar di peringkat antarabangsa dalam masa yang sama mengharumkan nama negara.
N.D. Lala menyatakan dia terharu dan bangga dengan kejayaan anak perempuannya itu yang muncul juara sulung dalam sebuah pertandingan yang objektifnya adalah untuk mencari seorang penyanyi bertaraf bintang .
"Saya terharu dengan kejayaan yang dilakarnya kerana dia bukan sahaja berjaya mencapai cita-citanya selama ini tetapi turut berjaya mengharumkan nama negara.
"Tambah mengharukan saya apabila mendapat tahu melalui wartawan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan ini.
"Saya berharap ia dapat menjadi pentas terbaik buat dirinya mengembangkan lagi perjalanan seni di peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Kejayaan Shila itu membolehkannya menerima dana bernilai lebih RM1 juta yang merangkumi kos rakaman album, penganjuran konsert dan pelbagai bentuk promosi lain di China.
Hadiah kemenangan yang diterima Shila bukanlah dalam bentuk kewangan tetapi lebih kepada dana pembangunan karier seninya di peringkat antarabangsa.
N.D. Lala berkata, dalam waktu terdekat ini, pihaknya akan meneliti beberapa kontrak yang ditawarkan kepada Shila oleh syarikat media terbesar di China iaitu Shanghai Media Group.
"Sejurus selepas perjanjian dimuktamadkan, kami akan mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan dengan lebih lanjut berhubung aktiviti seni Shila di negara itu," katanya.
Tambahnya, pengalaman yang dimiliki Shila sepanjang 12 tahun bergelar artis merupakan kekuatan utama yang membantu penyanyi tersebut sepanjang perjalanan seninya.
"Walaupun usianya baru 22 tahun, tetapi itu bukan pengukur kepada pengalaman dimiliki Shila dalam bidang ini," kata N.D. Lala.
Ini kerana menurutnya, Shila telah menjejakkan kaki ke dalam industri seni tanah air sejak berusia lapan tahun lagi apabila menyertai satu pertandingan nyanyian anjuran Radio Televisyen Malaysia dan kemudian menjuarainya.
Kegembiraan sama juga diluahkan ibunya, Fauziah Sarman, 44, yang turut mengiringi perjalanan anak dan suaminya itu ke Shanghai.
"Saya sangat gembira kerana ini merupakan langkah yang besar buat Shila dalam mengukuhkan lagi namanya sebagai penyanyi dalam industri seni suara.
"Boleh saya katakan, ini adalah kejayaan terbesarnya. Sebagai ibu, saya akan sentiasa menyokong perjalanan seninya dan mendoakan hanya yang terbaik buatnya," tambahnya.
Kongsi kegembiraan
Tatkala ditanya mengenai buah hatinya, Sharnaaz berhubung kejayaan itu, Shila tidak menyembunyikan peranan yang dimainkan pelakon yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Darah Panas.
Shila berkata, sepanjang berlangsungnya pertandingan itu, mereka sering berhubung dan Sharnaaz serta keluarganya banyak memberikan sokongan untuk dia memberikan yang terbaik.
"Sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak ini merupakan faktor utama kepada kejayaan saya apabila berupaya melakukan persembahan dengan perasaan yang tenang," jelasnya.

No comments:

Post a Comment