Nak duit tambahan ?

Thursday, 10 September 2015

Tuesday, 19 March 2013

Ibubapa Bukan Liabiliti


Inilah cerita benar. Cerita benar seorang penulis yang Berjaya. Beginilah kisahnya…
Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin
pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak…
“Ada duit? Minta ayah sedikit..”
Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat
seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik
kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah,
isteri dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka ‘sporting’ dan
tidak banyak meragam.

“Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak
ada duit,” Bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba,
sukar ditembak reaksinya.
” Bagilah beberapa yang ada,” cadang emak pendek.
“Takkan 5 ringgit?”
Emak mengganguk.
Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh
dibeli dengan wang 5 ringgit….Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapa
ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.
Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan
ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan
pulang ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit.
Siapa yang bagi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih ‘untung’ 5
ringgit. Geli hati mengenangkannya.
Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke
kampung, saya akan memberi pemintaan ayah. Kengkadang terlupa, tetapi ayah
akan selalu mengigatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas
untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi
saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk
diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap
tersenyum apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak
terus-terusan selamba.
Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam
memahami hati suaminya (ayah).
Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi
sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan
setiap memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya
tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik
perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana ‘tidak ada’,
tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau
disampaikannya.
Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan.
Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan
semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi
selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih
ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami
sendiri.
“Nanti, besarlah kereta kamu ini….” ujur ayah senyum.
Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung.
Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya,
ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.
” Eh tak payahlah ayah…” sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi
keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun
perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar,
hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau
tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.
“Kenapa, dah kaya?” usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap
diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi ‘dikebas’ oleh
saya. Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya
berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke
kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak
saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.
Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!.
Di samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh
sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya
sudah membeli MPV utuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara
gading.
Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun
saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi
kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang
berjaya.
Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami,
tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah al-Wahhab itu!
Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kongsi bersama:
” Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam
kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka
bukan ‘liabiliti’ tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu
sebenarnya kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda). Rugi betul
siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.
“memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun
itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan
pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan.
Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w,
keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa.”
Baiklah, inilah sebenarnya rahsia ‘perniagaan’ yang jarang-jarang
diperkatakan oleh tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam
mana-mana buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA.
Tidak ada?
Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga?
Memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita sentiasa berfikir untuk memberi.
Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri
walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

Saturday, 29 December 2012

Tumbuhan Sebagai Ubat-Ubatan


Malaysia memang terkenal dengan kekayaan hutan tropika yang meliputi sebahagian besar daripada muka buminya. Tumbuhan yang segar ini bukan sahaja menyaman dan mengindahkan persekitaran, tetapi juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Keistimewaan ini jelas menunjukkan kebesaran Tuhan dan betapa sedikitnya ilmu yang ada pada manusia. Betapa tidaknya, jika diteliti dan dikaji, hampir setiap tumbuhan yang dijadikan oleh Tuhan, semuanya mempunyai kegunaan dan keistimewaan yang tersendiri. Sebahagian besar daripada tumbuhan dapat dijadikan ubat; apa yang perlu ialah ilmu dan kajian yang mendalam mengenai sesuatu tumbuhan itu.
Penggunaan tumbuhan di dalam bidang perubatan tradisional telah lama berlangsung sejajar dengan kewujudan manusia itu sendiri dan diamalkan sebagai rawatan utama atau pilihan oleh semua masyarakat dan kaum. Contohnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 70-80 peratus dari penduduk dunia masih lagi bergantung kepada sistem perubatan tradisional di dalam penjagaan kesihatan asas, manakala di China sistem tradisional telah digunakan sebagai rawatan asas dalam lebih 40 peratus daripada masalah kesihatan dan penjagaan kesihatan.
Pada umumnya yang dimaksudkan dengan ubatan tradisional adalah ramuan dari tumbuhan-tumbuhan yang berkhasiat atau dikatakan berkhasiat sebagai ubat. Khasiatnya diketahui dari penuturan orang-orang tua atau dari pengalaman. Orang-orang Melayu telah sekian lama mengamalkan cara pengubatan yang menggunakan tumbuhan, sama ada ia berasal dari hutan, sekitaran atau ditanam khas untuk tujuan ini. Berbagai-bagai jenis tumbuhan telah diketahui boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit dan digunakan dalam perubatan tradisional. Penggunaan tumbuhan dalam perubatan perlulah dilakukan dengan teliti dan berhati-hati. Sepatutnya ia hanya boleh diamalkan oleh orang-orang yang berpengetahuan mengenainya, seperti ahli perubatan tradisional atau ahli herba. Walau bagaimanapun, terdapat juga mereka yang mencuba pengubatan tradisional ini dengan sendiri untuk menyembuhkan beberapa penyakit yang tidak berbahaya. Pengalaman mengajar mereka apakah jenis-jenis tumbuhan yang boleh dan tidak boleh di makan. Perhubungan antara rupa bentuk, warna atau bau sesuatu tumbuhan itu sering dikaitkan dengan jenis penyakit yang ingin diubati. Ia merupakan salah satu cara yang penting dalam menentukan tumbuh-tumbuhan yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Saturday, 15 December 2012

Melambatkan Keluar Air Mani...tak mau cuba ke!


Masalah suami ketika melakukan hubungan intim dengan isteri ialah acapkali keluar mani terlalu awal. Sedangkan pihak isteri belum teransang. Bila hal ini berlaku, kepuasan hanya dinikmati oleh sebelah pihak saja. Si isteri pula terus kecewa dan kecewa. Terpaksa memendam rasa.

Sebagai suami yang prihatin, adakah anda sanggup membiarkan hal ini berterusan?

Ketepikanlah ego anda seketika ya. Demi kepuasan bersama dan kebahagiaan berpanjangan. Jangan pula bila tengok pasangan lain bahagia, anda pula iri hati atau berdengki.

Bagi mengatasi masalah ini, apa kata anda amal petua melambatkan keluar air mani berikut;

Sediakan bahan-bahannya dulu:

~ 1 gram lada hitam
~ 1 gram lada putih
~ 1 gram kismis
~ 1 biji kuning telur ayam kampung
~ 1 ulas halia iaitu sebesar ibu jari
~ 2 sudu besar madu lebah

Caranya:

1. Tumbuk lada hitam, lada putih dan halia sampai hancur.

2. Campurkan bahan di atas dengan kuning telur ayam kampung dan madu lebah.

3. Kemudian, kacau dan gaul kesemua bahan hingga rata.

4. Anda perlu minum ramuan ini 2 kali sehari.

5. Sekali diminum pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam.

Dengan mengamalkan meminum ramuan ini, hubungan suami isteri anda akan lebih sempurna. InsyaAllah.


Saturday, 1 December 2012

Terowong zaman perang di Kelantan

TUMPAT – Kampung Palekbang di sini tiba-tiba menjadi tumpuan apabila tersebar cerita penemuan terowong peninggalan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua di laman sosial, di blog dan cakap-cakap di kedai kopi sejak seminggu ini.
 Gempar terowong zaman perang di Kelantan

Kewujudannya terus menjadi teka-teki apabila khabar angin mengatakan terowong tersebut panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga Lalang Luas, Machang.

Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat bekas kubu tentera Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi, yang kini dalam kajian pembangunan ekosejarah selia Kerajaan Negeri Kelantan.

Beberapa hari lalu kelihatan anggota polis, tentera, bomba berada di lokasi tersebut.

Bagaimanapun kesahihan kewujudan terowong tersebut masih menjadi persoalan hingga kini.

Turut juga kelihatan binaan lama yang sudah ditenggelami tanah dibersihkan serta beberapa kawasan yang sudah dikawal oleh pihak keselamatan.

Seorang penduduk tetap Kampung Palekbang, Zakaria Abdul Kadir, 74, berkata, cerita kewujudan terowong bawah tanah ini adalah cerita karut yang sengaja digembar-gemburkan.

“Memang tidak wujud terowong bawah tanah, itu semua cerita karut, tidak ada stor bom atau pun senjata api di sini,” katanya.

Menurutnya, telaga yang ditemui di kawasan tersebut adalah tempat simpanan air untuk kegunaan kereta api dan bukannya terowong untuk turun ke bawah tanah.

Zakaria berkata, lokasi tersebut asalnya pelabuhan dan stesen kereta api yang tersohor menjadi nadi penghubung rakyat Kelantan untuk ke Kota Bharu serta sebagai pusat perdagangan.

Menurutnya, Kampung Palekbang wujud sebelum kedatangan Inggeris di Kelantan.

Bagaimanapun kewujudan kampung itu disenaraikan dalam rekod setelah kerajaan Inggeris membina landasan kereta api pada pertengahan 1920.

“Palekbang adalah kampung yang termaju sekali dalam Kelantan pada masa itu apabila muncul sebagai pusat perdagangan dan pekan transit dari luar Kelantan ke Kota Bharu serta tempat-tempat lain.

“Dengan kemudahan pengangkutan yang maju dan kedudukan yang strategik, Kampung Palekbang berfungsi sebagai pusat pengumpulan, pengedaran sama ada dengan kereta api atau feri yang merentasi Sungai Kelantan,” katanya.

Zakaria berkata, pada masa itu, Kampung Paklebang mempunyai stor simpanan sejuk yang menyimpan stok minuman botol F&N dan Coca-cola, serta depo minyak Shell dan Esso untuk bekalan bagi seluruh negeri Kelantan.

“Di sini juga terdapat kilang air batu yang besar untuk membekalkan air batu bagi seluruh negeri Kelantan dan kesemua bangunan tersebut terletak di pinggir sungai Kelantan seiringan dengan stesen kereta api Palekbang,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zakaria, stesen kereta api Palekbang terpinggir sekitar tahun 1970-an apabila Jambatan Sultan Yahya Petra dibina dan dibuka menjadikan jalan darat berkembang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob ketika dihubungi memaklumkan lokasi yang didakwa mempunyai terowong bawah tanah itu masih dalam kajian pihak Kerajaan Negeri.

“Tidak ada apa yang luar biasa di kawasan berkenaan, ia masih dalam kajian dan pelbagai penemuan kemungkinan akan diketahui nanti.

“Mungkin di bawah tanah tersebut ada tempat simpanan peralatan perang milik tentera Jepun. Sebab itu, Kerajaan Negeri minta bantuan pihak tentera ke lokasi tersebut. Lagi pun di sini pada zaman Jepun adalah penempatan tentera, kemungkinan ada bahan api di bawah sana,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pekan meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan khabar angin berkaitan penemuan terowong tersebut.

Wednesday, 21 November 2012

Api misteri bakar rumah pusaka

Api misteri bakar rumah pusakaPEKAN - Kejadian api kecil yang muncul secara tiba-tiba  di beberapa bahagian dalam rumah akhirnya berakhir dengan tragedi kebakaran yang menghanguskan seluruh rumah pusaka sepasang warga emas, di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.10 petang Rabu lalu, bagaimanapun Abd Hamid Muda, 77, dan isteri, Rafiah Endut, 72, yang uzur berjaya diselamatkan anak-anak mereka yang kebetulan berada di rumah.
Anak ketiga pasangan warga emas itu, Umi Suraya, 37, berkata, pada hari kejadian, semua ahli keluarganya, termasuk abang dan adiknya yang tinggal di luar daerah pulang berkumpul di rumah ibu bapa mereka memandangkan keesokan harinya adalah cuti umum sempena Maal Hijrah.
Menurutnya, ketika kejadian, mereka sedang menikmati hidangan tengah hari sebelum empat ahli keluarga lelaki keluar memancing.

“Ketika itu saya sedang menyiapkan juadah untuk ahli keluarga, namun dikejutkan dengan bau asap dan api marak yang datang dari tingkat atas.

“Saya sempat lihat katil dua tingkat di dalam rumah terbakar lalu menjerit minta semua ahli keluarga keluar menyelamatkan diri termasuk membawa kedua ibu bapa kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Umi Suraya berkata, api merebak terlalu cepat menghalang dia dan ahli keluarga lain membawa keluar dokumen serta barangan berharga.

“Kami sekeluarga hanya dapat melihat api marak dan segala barang penting hangus begitu sahaja.
“Walaupun sedih kerana tinggal sehelai sepinggang, namun kami bersyukur kerana apa yang penting ibu dan ayah serta ahli keluarga lain selamat,” katanya.

Api muncul tiba-tiba

Di sebalik tragedi yang menimpa keluarga itu, mereka sempat berkongsi pengalaman aneh yang dialami iaitu kemunculan api misteri di beberapa bahagian dalam rumah berusia lebih 100 tahun itu.
Umi Suraya berkata, dia sekeluarga mula ‘diganggu’ kemunculan api misteri pada hari ketiga umat Islam menyambut Aidilfitri dan ia berulang sehingga menyebabkan mereka terpaksa berjaga-jaga bagi mengelakkan kebakaran lebih besar.
“Kami dapat lihat api membakar di bahagian bucu tilam, malah kain di dalam almari juga turut terbakar secara tiba-tiba dan api muncul tanpa disedari.
“Api berkenaan muncul dan membakar tempat yang sama dan jika kami membuang tilam yang digunakan, api tersebut akan muncul di tempat lain pula,” katanya.
Abang sulungnya, Abdul Ghani, 47, turut menyokong dakwaan Umi Suraya mengenai kehadiran api misteri itu dan tidak menyangka kejadian aneh terbabit berakhir dengan tragedi yang menyebabkan seluruh rumahnya hangus.
Katanya, keluarganya ada memanggil ustaz untuk melihat keadaan rumah dan meminta nasihat mengenai kejadian aneh itu.

“Ada yang memberitahu perkaitan yang menyebabkan kejadian itu, namun kami sekeluarga terus bersabar selain melakukan persediaan seperti meletakkan sebaldi air di dalam setiap bilik.

“Kami sebelum ini dapat memadam kebakaran kecil akibat kemunculan api tersebut, namun kebakaran Rabu lalu tidak dapat diatasi berikutan api terlalu besar sehingga memusnahkan rumah peninggalan nenek moyang kami,” katanya yang mengakui mengalami kerugian kira-kira RM200,000.

Abdul Ghani berkata, mereka sekeluarga reda dengan musibah itu walaupun kehilangan punca pendapatan berikutan rumah terbabit turut dijadikan sebagai pusat menenun yang diusahakan keluarganya di bawah Industri Tenun Diraja Pahang, Kampung Pulau Keladi.

“Semua hasil tenun yang dimiliki, selain tempahan kain tenun yang disiapkan untuk pelanggan termasuk peralatan membuat tenunan Pahang yang diusahakan sejak berpuluh tahun lalu hangus.
“Kami sekeluarga kini menumpang teduh di Balai Raya Kampung Pulau Keladi dan terpaksa memulakan kehidupan dari mula selepas semuanya musnah,” katanya.

PAKP hulur bantuan

Kejadian yang menimpa keluarga berkenaan mendapat perhatian beberapa pihak termasuk Persatuan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) kawasan Pekan yang hadir menghulurkan sumbangan.
Presidennya, Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, tragedi yang menimpa keluarga itu perlu diberi perhatian dan bantuan sewajarnya supaya mereka boleh memulakan kehidupan baru.
Menurutnya, pihaknya terpanggil membantu keluarga terbabit melalui sumbangan termasuk barangan keperluan.

“Saya berharap keluarga ini tabah menjalani ujian ALLAH SWT, selain tidak berputus asa untuk meneruskan kehidupan, tambahan ibu bapa mereka semakin uzur dan memerlukan perhatian," katanya sewaktu melawat mangsa.
Turut hadir melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa, Timbalan Pertubuhan Perintis Anak Watan Pahang (PPAWP), Datuk Zuhairi Ab Kadir.
Ref:SinarHarian.

Thursday, 8 November 2012

YA1M bukan badan politik


DJ Dave & M Nasir

Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), mungkin ramai yang kurang menyedari kewujudan persatuan baru ini. Ditubuhkan pada Jun lalu dengan tujuan menjaga kebajikan karyawan tidak mengira agama, bangsa mahupun peringkat usia, YA1M dijangka memberi sinar baru kepada golongan artis tempatan.

Diterajui oleh Datuk DJ Dave yang sememangnya cukup terkenal dalam industri seni tanah air, YA1M mempunyai matlamatnya tersendiri dalam menyahut saranan kerajaan yang mahukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memfokuskan usaha meningkatkan profesionalisme modal insan berkebajikan di negara ini.

Menghitung persatuan yang sedia ada dalam industri, kewujudan YAIM turut menjadi tanda tanya. Seperti persatuan lain, secara ringkasnya YA1M turut menjaga kebajikan artis dan karyawan.

Namun, sejauh manakah pertubuhan baru ini memberikan input yang positif dalam industri seni? Ikuti temu bual ZASS bersama DJ Dave mengenai hala tuju yayasan ini.


Bagaimana tercetusnya idea menubuhkan yayasan ini ?
DJ Dave: Idea ini tercetus selepas saya melawat ramai artis seangkatan saya yang sedang sakit mahupun yang telah meninggal dunia. Kebanyakan artis tempatan dihimpit masalah kewangan apabila ditimpa musibah dan tiada yang membantu.

Industri sudah ada persatuan yang membantu artis. Sebagai contoh, Karyawan dan Seniman. Maka apa relevannya penubuhan YA1M?

Perjuangan kami mungkin sama. Menjaga kebajikan artis. Namun persatuan yang sedia ada hanya memfokuskan pada sesuatu golongan dan bidang sahaja. Berbeza dengan YA1M yang lebih menyeluruh dan terbuka untuk semua bangsa, tak kira agama. Asalkan mereka terlibat dengan industri seni.


Apa lagi peranan YA1M dalam membantu penggiat seni?
Dalam meningkatkan kualiti industri seni tanah air, secara tidak langsung kami turut mengambil berat terhadap ahli. Sudah menjadi tanggungjawab utama yayasan untuk membela nasib ahli-ahli yang ditindas.

Agenda utama pertubuhan ini adalah membantu ahli karyawan yang memerlukan pembelaan sewajarnya. Adalah wajar mereka diberi perlindungan memandangkan golongan ini tidak mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), wang persaraan atau pencen.


Sejak penubuhan, apakah sumbangan yang sudah dilakukan persatuan ini?
Yayasan ini masih baru. Banyak lagi yang perlu kami lakukan. Namun setakat ini, kami sudah menyumbang bantuan kewangan kepada seorang pelakon yang sedang sakit.


Bagaimana dana diperoleh?
Yayasan juga mendapat sumbangan dan kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama bantu golongan artis yang menghadapi masalah.


Siapakah yang layak menyertai YA1M dan bagaimana cara menjadi ahli?
Keahlian terbuka kepada semua artis tempatan tidak kira bangsa. Kami akan mengedarkan borang keahlian pada malam selepas majlis perasmian 11 November ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Melihat nama pertubuhan ini, adakah YA1M juga melibatkan politik?
YA1M tiada campur tangan politik, sebaliknya ingin membantu artis yang mengalami masalah kesihatan, tidak kira bangsa mahupun agama. Saya sengaja namakan '1Malaysia' kerana di negara ini, kita mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan bersesuaian dengan misi yayasan yang membela nasib penggiat seni tak kira bangsa.


Apakah strategi anda bagi menjadikan yayasan ini bukan hanya di atas 'kertas putih' saja?
Memang saya ada perancangan tersendiri bagi memartabatkan yayasan. Tapi buat masa ini, saya tak mahu hebohkan lagi sehinggalah pelancarannya pada 11 November ini. Sebagai pelopor dan presiden yayasan ini, sudah tentunya saya mengharapkan yang terbaik dari segala hal. Cuma kita perlu sedikit masa untuk memantapkan lagi yayasan ini.


Harapan terhadap YA1M?
Saya berharap pertubuhan ini mendapat kepercayaan daripada penggiat seni tanah air untuk sama berganding bahu membantu golongan artis dan karyawan yang memerlukan. Saya juga berharap yayasan ini terus mendapat perhatian, baik dari golongan penggiat seni mahupun badan-badan khas.
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 November 2012