Nak duit tambahan ?

Wednesday, 21 November 2012

Api misteri bakar rumah pusaka

Api misteri bakar rumah pusakaPEKAN - Kejadian api kecil yang muncul secara tiba-tiba  di beberapa bahagian dalam rumah akhirnya berakhir dengan tragedi kebakaran yang menghanguskan seluruh rumah pusaka sepasang warga emas, di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.10 petang Rabu lalu, bagaimanapun Abd Hamid Muda, 77, dan isteri, Rafiah Endut, 72, yang uzur berjaya diselamatkan anak-anak mereka yang kebetulan berada di rumah.
Anak ketiga pasangan warga emas itu, Umi Suraya, 37, berkata, pada hari kejadian, semua ahli keluarganya, termasuk abang dan adiknya yang tinggal di luar daerah pulang berkumpul di rumah ibu bapa mereka memandangkan keesokan harinya adalah cuti umum sempena Maal Hijrah.
Menurutnya, ketika kejadian, mereka sedang menikmati hidangan tengah hari sebelum empat ahli keluarga lelaki keluar memancing.

“Ketika itu saya sedang menyiapkan juadah untuk ahli keluarga, namun dikejutkan dengan bau asap dan api marak yang datang dari tingkat atas.

“Saya sempat lihat katil dua tingkat di dalam rumah terbakar lalu menjerit minta semua ahli keluarga keluar menyelamatkan diri termasuk membawa kedua ibu bapa kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Umi Suraya berkata, api merebak terlalu cepat menghalang dia dan ahli keluarga lain membawa keluar dokumen serta barangan berharga.

“Kami sekeluarga hanya dapat melihat api marak dan segala barang penting hangus begitu sahaja.
“Walaupun sedih kerana tinggal sehelai sepinggang, namun kami bersyukur kerana apa yang penting ibu dan ayah serta ahli keluarga lain selamat,” katanya.

Api muncul tiba-tiba

Di sebalik tragedi yang menimpa keluarga itu, mereka sempat berkongsi pengalaman aneh yang dialami iaitu kemunculan api misteri di beberapa bahagian dalam rumah berusia lebih 100 tahun itu.
Umi Suraya berkata, dia sekeluarga mula ‘diganggu’ kemunculan api misteri pada hari ketiga umat Islam menyambut Aidilfitri dan ia berulang sehingga menyebabkan mereka terpaksa berjaga-jaga bagi mengelakkan kebakaran lebih besar.
“Kami dapat lihat api membakar di bahagian bucu tilam, malah kain di dalam almari juga turut terbakar secara tiba-tiba dan api muncul tanpa disedari.
“Api berkenaan muncul dan membakar tempat yang sama dan jika kami membuang tilam yang digunakan, api tersebut akan muncul di tempat lain pula,” katanya.
Abang sulungnya, Abdul Ghani, 47, turut menyokong dakwaan Umi Suraya mengenai kehadiran api misteri itu dan tidak menyangka kejadian aneh terbabit berakhir dengan tragedi yang menyebabkan seluruh rumahnya hangus.
Katanya, keluarganya ada memanggil ustaz untuk melihat keadaan rumah dan meminta nasihat mengenai kejadian aneh itu.

“Ada yang memberitahu perkaitan yang menyebabkan kejadian itu, namun kami sekeluarga terus bersabar selain melakukan persediaan seperti meletakkan sebaldi air di dalam setiap bilik.

“Kami sebelum ini dapat memadam kebakaran kecil akibat kemunculan api tersebut, namun kebakaran Rabu lalu tidak dapat diatasi berikutan api terlalu besar sehingga memusnahkan rumah peninggalan nenek moyang kami,” katanya yang mengakui mengalami kerugian kira-kira RM200,000.

Abdul Ghani berkata, mereka sekeluarga reda dengan musibah itu walaupun kehilangan punca pendapatan berikutan rumah terbabit turut dijadikan sebagai pusat menenun yang diusahakan keluarganya di bawah Industri Tenun Diraja Pahang, Kampung Pulau Keladi.

“Semua hasil tenun yang dimiliki, selain tempahan kain tenun yang disiapkan untuk pelanggan termasuk peralatan membuat tenunan Pahang yang diusahakan sejak berpuluh tahun lalu hangus.
“Kami sekeluarga kini menumpang teduh di Balai Raya Kampung Pulau Keladi dan terpaksa memulakan kehidupan dari mula selepas semuanya musnah,” katanya.

PAKP hulur bantuan

Kejadian yang menimpa keluarga berkenaan mendapat perhatian beberapa pihak termasuk Persatuan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) kawasan Pekan yang hadir menghulurkan sumbangan.
Presidennya, Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, tragedi yang menimpa keluarga itu perlu diberi perhatian dan bantuan sewajarnya supaya mereka boleh memulakan kehidupan baru.
Menurutnya, pihaknya terpanggil membantu keluarga terbabit melalui sumbangan termasuk barangan keperluan.

“Saya berharap keluarga ini tabah menjalani ujian ALLAH SWT, selain tidak berputus asa untuk meneruskan kehidupan, tambahan ibu bapa mereka semakin uzur dan memerlukan perhatian," katanya sewaktu melawat mangsa.
Turut hadir melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa, Timbalan Pertubuhan Perintis Anak Watan Pahang (PPAWP), Datuk Zuhairi Ab Kadir.
Ref:SinarHarian.

Thursday, 8 November 2012

YA1M bukan badan politik


DJ Dave & M Nasir

Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), mungkin ramai yang kurang menyedari kewujudan persatuan baru ini. Ditubuhkan pada Jun lalu dengan tujuan menjaga kebajikan karyawan tidak mengira agama, bangsa mahupun peringkat usia, YA1M dijangka memberi sinar baru kepada golongan artis tempatan.

Diterajui oleh Datuk DJ Dave yang sememangnya cukup terkenal dalam industri seni tanah air, YA1M mempunyai matlamatnya tersendiri dalam menyahut saranan kerajaan yang mahukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memfokuskan usaha meningkatkan profesionalisme modal insan berkebajikan di negara ini.

Menghitung persatuan yang sedia ada dalam industri, kewujudan YAIM turut menjadi tanda tanya. Seperti persatuan lain, secara ringkasnya YA1M turut menjaga kebajikan artis dan karyawan.

Namun, sejauh manakah pertubuhan baru ini memberikan input yang positif dalam industri seni? Ikuti temu bual ZASS bersama DJ Dave mengenai hala tuju yayasan ini.


Bagaimana tercetusnya idea menubuhkan yayasan ini ?
DJ Dave: Idea ini tercetus selepas saya melawat ramai artis seangkatan saya yang sedang sakit mahupun yang telah meninggal dunia. Kebanyakan artis tempatan dihimpit masalah kewangan apabila ditimpa musibah dan tiada yang membantu.

Industri sudah ada persatuan yang membantu artis. Sebagai contoh, Karyawan dan Seniman. Maka apa relevannya penubuhan YA1M?

Perjuangan kami mungkin sama. Menjaga kebajikan artis. Namun persatuan yang sedia ada hanya memfokuskan pada sesuatu golongan dan bidang sahaja. Berbeza dengan YA1M yang lebih menyeluruh dan terbuka untuk semua bangsa, tak kira agama. Asalkan mereka terlibat dengan industri seni.


Apa lagi peranan YA1M dalam membantu penggiat seni?
Dalam meningkatkan kualiti industri seni tanah air, secara tidak langsung kami turut mengambil berat terhadap ahli. Sudah menjadi tanggungjawab utama yayasan untuk membela nasib ahli-ahli yang ditindas.

Agenda utama pertubuhan ini adalah membantu ahli karyawan yang memerlukan pembelaan sewajarnya. Adalah wajar mereka diberi perlindungan memandangkan golongan ini tidak mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), wang persaraan atau pencen.


Sejak penubuhan, apakah sumbangan yang sudah dilakukan persatuan ini?
Yayasan ini masih baru. Banyak lagi yang perlu kami lakukan. Namun setakat ini, kami sudah menyumbang bantuan kewangan kepada seorang pelakon yang sedang sakit.


Bagaimana dana diperoleh?
Yayasan juga mendapat sumbangan dan kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama bantu golongan artis yang menghadapi masalah.


Siapakah yang layak menyertai YA1M dan bagaimana cara menjadi ahli?
Keahlian terbuka kepada semua artis tempatan tidak kira bangsa. Kami akan mengedarkan borang keahlian pada malam selepas majlis perasmian 11 November ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Melihat nama pertubuhan ini, adakah YA1M juga melibatkan politik?
YA1M tiada campur tangan politik, sebaliknya ingin membantu artis yang mengalami masalah kesihatan, tidak kira bangsa mahupun agama. Saya sengaja namakan '1Malaysia' kerana di negara ini, kita mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan bersesuaian dengan misi yayasan yang membela nasib penggiat seni tak kira bangsa.


Apakah strategi anda bagi menjadikan yayasan ini bukan hanya di atas 'kertas putih' saja?
Memang saya ada perancangan tersendiri bagi memartabatkan yayasan. Tapi buat masa ini, saya tak mahu hebohkan lagi sehinggalah pelancarannya pada 11 November ini. Sebagai pelopor dan presiden yayasan ini, sudah tentunya saya mengharapkan yang terbaik dari segala hal. Cuma kita perlu sedikit masa untuk memantapkan lagi yayasan ini.


Harapan terhadap YA1M?
Saya berharap pertubuhan ini mendapat kepercayaan daripada penggiat seni tanah air untuk sama berganding bahu membantu golongan artis dan karyawan yang memerlukan. Saya juga berharap yayasan ini terus mendapat perhatian, baik dari golongan penggiat seni mahupun badan-badan khas.
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 November 2012